Bacalah perutusan perutusan guru utama mengenai persilatan atau peristiwa peristiwa tertentu dan juga sambutan hari hari mulia tertentu semoga menjadi teladan dan sempadan dalam kehidupan kita.
PERUTUSAN 1
BETULKAN NIAT DAN HALA TUJU PERSILATAN MELAYU
Bismillahir rahmaanir rahim. Alahamdulillahi Rabbil a`lamin wabihi nastain. Wassolaatu wassalam ala Rasuulihil karim sayyidina wahabiibina Muhammadin saw waalaa aalihi thoyyibin wasohbihi ajmai`n.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh. Salam sejahtera dan selamat berbahagia semua.
Sempena perutusan pertama ini marilah bersama-sama kita bersyukur ke hadhrat Tuhan kita Allah swt kerana mengurniakan kita nikmat iman dan Islam. Kita juga bersyukur kepada Ilahi kerana dengan kurnianya dapat kita hidup sejahtera dalam sebuah negara yang aman tenteram tanpa peperangan yang boleh membawa banyak penderitaan. Namun kita tidak boleh lari dari perjuangan hidup kemanusiaan iaitu membina nilai diri kemanusiaan itu sendiri dengan berpandukan wahyu Tuhan (Al-Quran) dan Sunnah NabiNya Muhammad saw.
Pada hakikatnya manusia mencari ketenangan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Kita boleh merasa bersyukur kerana dunia semakin maju. Kemewahan hidup makin melimpah tetapi ternyata duniawi ini belum boleh memberikan ketenangan mutlak. Maka di antara banyak cara bagi mencari dan mendapatkan ketenangan jiwa mengikut `jalan yang haq` salah satunya ialah dengan mempelajari tasawuf. Sungguh penting bertasawuf itu, namun tasawuf tanpa ilmu dan pimpinan yang lurus [Lillahi Taala] terkadang menimbulkan penyelewengan syariat dan jika tiada dengan keikhlasan maka timbullah keresahan dan perpecahan yang merugikan umat dan negara.
Hidup berlandaskan tasawuf bererti berlandaskan hati yang bersih semata-mata kerana Allah. Berakhlak menurut contoh yang ditinggalkan Nabi dan keluar dari akhlak yang rendah. Mendirikan kehambaan yang dituntut iaitu menyembah Allah [Taat segala titah perintah Allah demi kesejahteraan manusia itu sendiri] sesuai dengan firman-Nya:
Ertinya: “Dan tidak aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.” (Makna dari ayat surah az-Zariyat:56)
Fungsi pendidikan setiap institusi persilatan Melayu Islam mestilah berlandaskan pengajaran tasawuf murni di samping memperkemaskan pengajaran hakikat dan melaksanakan syariat yang suci. Jika pengajaran ilmu persilatan semata-mata untuk mengajar manusia pandai berkelahi dengan mengenepikan tiga aspek perintah Ilahi tersebut di atas maka darjatnya samalah dengan tabiat binatang yang suka berkelahi saperti harimau, singa, Serigala, monyet, kucing dan anjing atau apa-apa lagi tabiat kebinatangan yang suka berekelahi dan pandai mengajar anak anaknya berkelahi. Jika pembawaan tingkah dan tabiat kebinatangan ini dipupuk dalam pengajaran ilmu persilatan dengan meminggirkan aspek iman, Islam dan ihsan maka dengan sendirinya akan merendahkan darjat sesaorang insan sesungguhnya perkara seperti inilah amat disukai oleh syaitan supaya anak-anak Adam mati mendapat siksa neraka bersama mereka dan membawa wajah kebinatangan di alam abadi. Nauzubillaahi minzaalik.
Institusi Ilmu persilatan Melayu Islam yang sejati bukanlah berfungsi menggalakkan manusia suka berkelahi dan membangga-bangga diri dengan mempamer kehebatan. Tetapi selain daripada berfungsi mengajar manusia teknik beladiri dan memupuk semangat patriotisme mestilah juga tahu mendidik rohani dan mengajar adab hubungannya dengan Ilahi dan hubungan saling menghormati sesama manusiawi sebagaimana di dalam wahyu perintah perintah Tuhan Rabbul-Jalil.
Sedarilah bahawa jiwa boleh dibahagi kepada empat bahagian. Segala yang datang dari luar diri samada kebendaan atau ilmu dan kepandaian serta pencapaian kebolehan boleh mempengaruhi bahagian-bahagaian jiwa tersebut:
1. Jiwa yang memiliki sifat Ar-Rububiyah, seperti keagungan [keegoaan], pemaksaan, senang dan seronok terhadap pujian, kemuliaan, kekayaan dan sebagainya.
2. Jiwa yang memiliki muatan syeitan, seperti penipu, putar belit, selalu mencari kesalahan orang lain, hasud, buruk sangka, adu domba, permusuhan dan sebagainya.
3. Jiwa yang memiliki muatan sifat binatang, seperti suka makan, minum, bersenggama, perebutan, perkelahian dan sebagainya.
4. Jiwa yang memiliki sifat ubudiah saperti rasa taqwa, tawadhu`, rendah hati, sabar dan lain-lain lagi. [jiwa saorang hamba katagori keempat ini adalah yang dituntut terhadap seorang mukmin].
Seorang murid perguruan persilatan yang diajar pandai berkelahi iaitu bagaimana teknik untuk menewaskan serta mencederakan orang lain [musuhnya] dan juga yang diajar dengan pelbagai jenis kepandaian dan kekuatan kebatinan saperti kebal, kuat, penimbul, gagah, boleh membuat pukulan jarak jauh, pembisa tangan, pelimunan, penunduk, pemati gerak, penggerun dan macam-macam lagi kepandaian dan kehebatan kebatinan tetapi andaikata tidak diasuh dan dirubah jiwanya oleh gurunya atau mujahadah dirinya sendiri dari muatan Ar-Rububiah menjadi muatan Al-Ubudiah tidakkan terlepas dari berlaku dosa syirik khafi, dan tidak dapat merubah akhlak syaitan menjadi akhlak orang orang yang beriman, dan tidakkan berubah tabiat binatang menjadi tabiat ahli ruhani. Oleh yang demikian kepandaian dari pembelajaran persilatan tampa pendidikan tasawuf yang sebenar maka jiwanya bertambah kuat menjadi sumber makar, keangkuhan dan kesombongan yang sangat merbahaya kepada umum dan juga merbahaya kepada dirinya sendiri kelak kerana dimurkai Tuhan seperti firman Allah SWT di dalam Al Quran, antaranya seperti petikan berikut:
I. Ertinya: `Janganlah kalian terlalu membangga-banggakan diri, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai [murka] orang-orang yang terlalu membanggakan diri.` (AL-Qashash,76)
II. Ertinya: `… Kerana sesungguhnya jiwa (nafsu) itu selalu menyuruh kepada kejahatan.` (Qs,Yusuf:53)
III. Ertinya: `Ingatlah pada suatu hari, di mana tiap-tiap jiwa datang untuk membela dirinya sendiri, dan tiap-tiap jiwa disempurnakan balasan dari apa yang telah dikerjakan. Dan mereka sama sekali tidak akan dianianya [dibalas dengan adil saksama-tidak dirugikan]`. (An Nahl:111)
Rasulullah s.a.w. juga pernah bergulat atau bersilat dan menewaskan lawannya tetapi demi mengajar manusia itu supaya patuh dan tunduk kepada perintah Ilahi. Bukan untuk berbangga diri dan mencari populariti atau menggunakan kepandaian dan kekuatan kurnia Ilahi itu untuk mencari kekayaan dan kemewahan diri. Tetapi untuk menarik manusia yang kafir dan yang bangga diri menjadi manusia muslim sejati dan menyedari kefakiran diri terhadap Ilahi serta memenuhi fungsi seruan Ilahi seperti yang tersebut di atas. Andaikata perguruan silat kita tidak mempunyai unsur-unsur pengajarannya saperti yang tercatat di atas atau pun menyalahi apa-apa yang pernah tercontoh oleh Rasulullah s.a.w. tersebut sebagai fungsi pendidikan sebenar institusi persilatan maka telah berlakulah penyalahgunaan ilmu persilatan dan berlaku penyelewengan perjuangan suci yang mana setiap kita orang muslim patut membetulkan semula arah dan hala tuju serta niat dalam belajar dan mengajar ilmu persilatan Melayu yang murni [jangan tidak tahu seperti tidak tahunya orang kafir akan maksud sebenarnya belajar ilmu beladiri] dan setiap orang berkewajipan `membersihkan diri` daripada tiga dimensi jiwa yang tercela tersebut di atas semoga hidup di dunia sejahtera dan bahagia pula hidup di alam abadi.
Wabillahi taufiq walhidaayah.
Wallahu a`lam.
Sempena hari keputeraan SPB Yang di Pertuan Agong (M`sia only). Sabtu 6 jun`09.
